KEMAMAN - Sepasang suami isteri berdepan dilema untuk meneruskan persekolahan anak angkat mereka berikutan masalah dokumentasi dan berharap pihak yang berkenaan dapat membantu.
Junainah Othman, 40, berkata dia dan suaminya Zulkifli Yunus, 45, mengambil Nurul Jannah Abdullah, 7, yang merupakan anak pendatang asing tanpa izin sebagai anak angkat mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pada awal tahun ini Jannah telah menamatkan persekolahannya di darjah satu di Sekolah Kebangsaan Meraga Beris sebelum permohonan untuk ke darjah 2 ditolak oleh pihak sekolah kerana perlu ada pasport dan sijil nikah ibu bapanya,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Ibai Penunjuk di sini, hari ini.
Katanya ibu kandung anak angkatnya bernama Noor Aishah Karsor, 32, yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Pulau Kambing, Kuala Terengganu telah dihantar pulang ke negara asalnya manakala bapanya warga Bangladesh tidak dapat dikesan.
Junainah berkata dia dan suaminya sudah 3 kali ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur bagi membolehkan anak angkatnya mendapat pasport bagi meneruskan persekolahan namun gagal.
Permohonan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kewarganegaraan buat anak angkatnya itu juga ditolak, katanya dan menurutnya anak angkatnya itu dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Kami mengharapkan ada pihak yang tampil membantu kami mendapatkan pasport atau memberikan taraf penduduk tetap (kepada Jannah) walaupun tidak mendapat taraf kewarganegaraan. Kami telah habis usaha dan tidak tahu bagaimana lagi cara untuk menyelesaikan masalah ini,” rayu Junainah.
Zulkifli berkata sebagai langkah sementara dia dan isteri mendaftarkan Jannah di sekolah agama swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Darul Takwa, dekat sini bagi mengelakkan anaknya itu ketinggalan dalam pelajaran meskipun yuran pendaftaran agak mahal.
Katanya dia terpaksa berhenti kerja sebagai jurukimpal di Kemaman kerana terlalu kerap mengambil cuti untuk menguruskan soal persekolahan anak angkatnya itu dan kini menjalankan perniagaan menjual keropok bersama-sama isterinya.
“Kami bertekad mahu memastikan Jannah terus belajar demi masa depannya,” katanya sambil menaruh harapan tinggi ada pihak yang tampil membantu.
Sumber – FMT