Anak Kedah, Tan Cheng Hoe Dilantik Ketua Jurulatih Harimau Malaya


ALOR SETAR - Teka-teki mengenai jurulatih yang bakal menggantikan jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tan Cheng Hoe untuk mengisi kerusi panas tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Dato' Hamidin Mohd Amin sebentar tadi mengumumkan perlatikan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, sekali gus menamatkan spekulasi tentang individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan yang dilepaskan, Nelo Vingada.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas perlantikan beliau menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu," kata beliau, mengumumkan perlantikan tersebut.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali, sebelum ini mencadangkan nama Cheng Hoe untuk mengambil alih tanggungjawab yang dilepaskan Vingada dan menganggap bekas Ketua Jurulatih Kedah itu sebagai paling layak mengisi jawatan tersebut.

Khalid berkata, cadangan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman luas Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan selain pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Anak kelahiran Kedah itu sebelum ini berjaya mencatat rekod cemerlang apabila membawa skuad Lang Merah menjuarai dan membawa pulang Piala Malaysia 2016 ke negeri Jelapang Padi setelah kemarau piala kira-kira 8 tahun.

Selain meletakkan Kedah ditangga kedua Liga Super pada musim tersebut, beliau yang memiliki sijil kejurulatihan profesional kelas A menjadi sebutan sebagai jurulatih paling berjaya sebelum ditawar menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan. - Kedahnews.com