Anak Saudara Azmin Ali Ditahan Kes Rasuah


KUALA LUMPUR - Anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga yang lain ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah aktiviti perlombongan pasir haram.

Mereka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada jam 9.30 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Ainna Sherina Saipolamin membenarkan SPRM menahan reman keempat-empat mereka sehingga 6 Disember ini.

Mereka yang ditahan termasuklah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan sedang disiasat di bawah Akta SPRM kerana didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang pada 2014.

Menurut laporan Bernama sebelum ini, SPRM turut membekukan RM4 juta dalam beberapa akaun bank milik syarikat itu.

Difahamkan, mereka yang ditahan petang semalam ialah dua pengarah syarikat melombong pasir bersama-sama seorang pekerja syarikat pengiklanan disyaki bersubahat dalam kegiatan itu.

“Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap perlombongan pasir dan batu secara haram di lokasi di Kajang sejak 2014,” kata seorang sumber SPRM.

“Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi tadi dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani turut mengesahkan tangkapan itu.

Menurut Simi, SPRM menjalankan operasi tersebut setelah mendapat aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan mencuri pasir di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu. - Kedahnews.com