Angkasa Sasar Tahun 2018 Sebagai Kebangkitan Digital Koperasi


ALOR SETAR - Tahun 2018 bakal menyaksikan satu transformasi sebagai Tahun Digital Koperasi demi menggalakkan penglibatan koperasi-koperasi di bawah naungannya dalam perdagangan elektronik (e-dagang).

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata bagi menarik minat generasi-Y menceburi bidang perniagaan atas talian, pelbagai program kesedaran akan diadakan sebagai input kepada tahun selain menambah kemudahan bagi mereka.

"Kalau koperasi tidak mengambil bahagian atau tidak mengambilkira perkembangan semasa tentang e-dagang, maka koperasi akan ketinggalan," katanya.

Berkatanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pembinaan laman web koperasi anjuran Angkasa di Langkawi, semalam.

Apa yang diberitahu, program tersebut turut melibatkan anggota jawatankuasa Angkasa dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang dan ia merupakan langkah pertama menggalakkan penglibatan koperasi dalam e-dagang dan akan dikembangkan lagi tahun depan.

"Kita ada hampir 14,000 koperasi di seluruh negara yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi, namun peratusan yang memiliki laman web sendiri masih terlalu kecil. Kita mahu semua koperasi ada laman web mereka sendiri," katanya.

Tegas Abdul Fattah, landasan e-dagang adalah bermulanya platform kepada koperasi-koperasi untuk meningkatkan lagi perolehan mereka menerusi perluasan pasaran produk-produk yang tidak akan terhad hanya di dalam negara.

" Pada tahun lepas, perolehan koperasi adalah hampir RM40 bilion. Kalau koperasi dapat menggunakan e-dagang sebagai platform perniagaan mereka, saya percaya jumlah perolehan ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa-masa yang akan datang," katanya.

Sementara itu, dalam prospektif lain pihak koperasi juga dapat meningkatkan kepentingan dalam menjalankan peranannya perkembangan ekonomi negara menerusi penglibatan dalam e-dagang yang turut menjadi agenda penting kerajaan.

"Mereka perlu mengambil peluang yang dihasilkan dari inisiatif kerajaan untuk mewujudkan zon perdagangan digital yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Usaha yang kita buat sekarang ini adalah bertepatan untuk memastikan koperasi menceburi bidang e-dagang sebagai platform untuk memasarkan produk masing-masing, meluaskan lagi pasaran mereka ke seluruh dunia dan membantu kerajaan dengan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara," katanya.- Kedahnews.com