Apa Boleh Buat: Sathianathan


KUALA LUMPUR - Meskipun dikejutkan dengan berita 'penyingkiran' ke Liga Perdana, namun pengendali FELDA United, B Sathianathan enggan melatah dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui beliau sedih selepas pasukan bimbingannya itu terpaksa beraksi di divisyen dua musim depan namun beliau menegaskan situasi itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membimbing skuad 'The Fighters'.

"Memang sedih tapi apa yang boleh saya buat. Kami akan teruskan perjuangan dalam Liga Perdana dan saya terima keputusan yang sudah diambil oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"Bagi saya, tidak ada masalah membimbing pasukan di Liga Perdana kerana saya pernah membimbing pasukan ATM sebelum ini hingga berjaya muncul juara liga dan mara ke final Piala Malaysia 2012.

"Setakat ini, saya belum mendengar apa-apa lagi maklumat daripada pengurusan FELDA United mengenai perkara ini tapi saya harap pasukan ini akan terus beraksi walaupun dalam Liga Perdana," katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, kegagalan FELDA United melengkapkan dokumen membabitkan kewangan pasukan menyaksikan mereka menerima hukuman berat apabila disingkirkan beraksi ke Liga Perdana musim depan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang menjelaskan skuad 'The Fighters' tidak dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018 kerana tidak memperoleh lesen untuk bertanding di liga elit bola sepak negara ini.

Menurutnya, meskipun mereka mengemukakan rayuan untuk memperoleh lesen ketika tempoh rayuan, namun mereka tetap gagal untuk menyerahkan dokumen lengkap sekali gus memaksa FMLLP mengambil keputusan sedemikian.

Sumber: BH Online