Apa Sudah Berlaku Dengan Kes Safiq?


KUALA LUMPUR - Sikap membisu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden membabitkan kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim ketika final Piala Malaysia lalu mencetuskan tanda tanya bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni.

Katanya, selepas hampir dua bulan ia berlaku, beliau masih menanti apakah tindakan bakal diambil oleh FAM dalam menangani isu kontroversi berkenaan kerana sehingga kini tiada sebarang perkembangan baru mengenainya.

"Sebagai peminat bola sepak saya hendak tahu perkembangan kes itu. Saya rasa bukan saya seorang, malah peminat lain pun tertanya-tanya apa kesudahannya.

"Sudah hampir dua bulan berlalu tapi nampaknya ia senyap begitu saja. Persoalannya, adakah Jawatankuasa Disiplin FAM sudah membincangkannya atau kes ini dibiarkan senyap begitu saja?

"Mungkin saya terlepas pandang atau tidak mengikuti perkembangan. Mungkin juga FAM sudah mengambil tindakan tanpa menghebohkan kepada umum.

"Tapi, setahu saya, FAM tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung insiden ini selepas ia heboh diperkatakan selain ramai mendesak agar badan induk itu mengenakan tindakan disiplin ke atas Safiq," katanya.

Safiq menerima kecaman apabila mengeluarkan perkataan berbaur lucah di depan wakil media yang sedang merakam detik manis kejayaan JDT menjuarai Piala Malaysia selepas mengatasi Kedah, 2-0 di Stadium Shah Alam pada 4 November lalu.

Menerusi rakaman video yang viral di laman sosial itu, Safiq dikesan mengeluarkan kata-kata "P... kepada semua pengkritik, wa (saya) champion (juara)".

Mengulas lanjut, Bakri berkata, beliau tidak berniat mengungkit atau 'memanaskan' semula isu itu, namun berpendapat sesuatu perlukan dilakukan FAM demi menjaga integriti serta nama baik badan induk berkenaan.

"Ia bagi mengelak FAM dituduh mengamalkan sikap pilih kasih atau berat sebelah kerana beberapa kes sebelum ini sudah dikenakan tindakan disiplin termasuk kes seorang pemain menunjukkan isyarat lucah kepada penonton.

"Jadi, saya berharap FAM tidak terlepas pandang isu ini atau menutup mata begitu saja. Paling tidak, Safiq perlu diberi amaran keras atas perbuatannya itu," katanya.

Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan itu meminta Safiq tampil untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyokong.

"Sebagai pemain senior, apatah lagi kapten skuad JDT dan kebangsaan, Safiq perlu mempunyai jiwa besar untuk tampil mengakui kesilapannya serta memohon maaf. Dengan cara ini, peminat akan lebih menghormati dia," katanya.

Sumber: BH Online