APM Kota Setar Pantau Keadaan Fenomena Monsun Timur Laut


ALOR SETAR – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar bersedia untuk memindahkan penduduk kampung sekiranya kawasan kediaman mereka mula dinaiki air berikutan fenomena Monsun Timur Laut.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata sehingga pukul 9 malam semalam, satu pusat pemindahan telah dibuka di Pusat Pemindahan Surau Assyakirin, Kepala Batas.

“Satu pusat pemindahan telah dibuka pada pukul 12 tengah hari tadi yang mana  menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga yang tinggal berdekatan kawasan sungai.

“Mereka terpaksa dipindahkan selepas air sungai masuk ke dalam rumah mereka berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka akan berterusan sehingga bulan April tahun hadapan,” katanya kepada Bernama.

Katanya anggota APM sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu memindahkan penduduk di kawasan yang mengalami banjir akibat fenomena tersebut. – BERNAMA