AS Beri ''Lampu Hijau'' Kekejaman Israel


NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) dilihat seakan memberi ‘lampu hijau’ kepada Israel untuk meneruskan kekejaman dan pendudukan secara haram di wilayah Palestin selepas menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bagi membatalkan keputusan Presiden Donald Trump berhubung isu Baitulmuqaddis.

Perkara itu ditegaskan oleh Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour yang menyifatkan tindakan AS itu jelas bertentangan dengan konsensus antarabangsa dan menyerlahkan lagi sikap berat se­belah mereka terhadap Palestin.

“Dalam satu paradoks yang jelas, ketika kita sedang menunggu rancangan perdamaian dari AS, pentadbiran negara itu memutuskan untuk menghalang perdamai­an dan menunda segala usaha merealisasikannya.

“Tiada retorik yang akan dapat menyembunyikan keinginan sebenar mereka untuk memanjangkan lagi pendudukan dan pencerobohan di wilayah Palestin,” katanya.

Semalam, Duta AS ke PBB, Nikki Haley menyifatkan draf resolusi itu sebagai satu penghinaan kepada AS dan cuba mempertahankan tindakan Trump serta kuasa veto yang digunakan atas dasar kedaulatan yang dimiliki negaranya.

Bagaimanapun, draf ber­kenaan mendapat sokongan 14 anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) termasuk sekutu AS sekali gus memperlihatkan Washing­ton semakin dipulaukan berhubung isu yang telah mencetuskan perhimpunan besar-besaran menyokong Palestin di bandar-bandar utama dunia.

Tidak lama selepas undian tersebut dijalankan, White House mengumumkan Timbalan Presi­den AS, Mike Pence telah menunda kunjungan ke Asia Barat yang dirancang minggu ini.

Menurut portal berita Al-Jazeera, jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan rasmi berkata, pentadbiran Palestin akan meneruskan langkah ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan semua agensi antarabangsa lain untuk mempertahankan hak rakyatnya.

“Negara anggota UNGA akan diminta untuk mengundi draf resolusi sama yang kami bawa kepada UNSC kerana kami percaya pada perhimpunan berkenaan, AS tidak dapat menggunakan keistimewaannya lagi,” katanya.

Utusan Palestin dilaporkan mengetuai sekumpulan duta Arab dalam pertemuan dengan Presiden UNGA, Miroslav Lajcak untuk menjadualkan undi draf resolusi berkenaan yang dijangka Khamis ini.

Resolusi oleh UNGA tidak mengikat, tetapi undi majoriti untuk menyokong resolusi akan membawa pertimbangan politik yang kuat.

Dalam pada itu, Turki yang menganjurkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membahaskan isu Baitulmuqaddis minggu lalu turut lantang mengecam tindakan AS itu.

“Tindakan AS menggunakan kuasa vetonya menunjukkan bahawa Washington sekali lagi hilang punca dan tidak dapat diterima oleh anggota UNSC,” jelas Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Britain, Theresa May dilaporkan bersetuju bahawa ketega­ngan yang mengancam proses damai harus dielakkan. – REUTERS/AFP