AS Tuduh Palestin 'Lari' Daripada Rundingan Damai


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menuduh pihak berkuasa Palestin 'melarikan diri' daripada rundingan damai dengan memulaukan lawatan Naib Presiden AS, Mike Pence.

Seorang pegawai di pejabat Pence berkata, naib presiden itu berhasrat untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi ketika lawatannya bulan ini.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan Pence tidak akan mengadakan pertemuan dengan mana-mana wakil Palestin yang sudah menunjukkan kemarahan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Presiden (Donald Trump) mengarahkan Naib Presiden Pence melawat ke rantau itu untuk mengukuhkan komitmen kerja dengan beberapa rakan di Asia Barat dalam usaha menghapuskan golongan radikal yang mengancam harapan dan cita-cita generasi masa depan," kata Ketua kakitangan Pence, Jarrod Agen.

Agen berkata, pentadbiran Trump tetap tidak berkecuali dalam usahanya untuk membantu mencapai keamanan antara Israel dan Palestin.

Katanya pasukan damai mereka tetap bekerja keras menyusun perancangan. - AFP