‘Aspek Kod Etika Ibu Bapa Dan Penjaga Harus Diperluas’


Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang dikemukakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) haruslah menyeluruh yang merangkumi aspek tatacara melawat sekolah dan interaksi bersama ibu bapa dengan guru serta pelajar.

Presiden Guru Muda 1Malaysia, Rahmat Sholihin Mokhtar berkata kod etika itu adalah merujuk kepada satu garis panduan lengkap yang menjelaskan peranan ibu bapa, guru, murid dan pihak sekolah.

“Contohnya, dahulu kebanyakan guru di sekolah lebih bertoleransi dengan memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang mahu berjumpa anak-anak mereka di sekolah pada bila-bila masa kerana sudah menganggap mereka sebagai rakan sekolah.

“Bagaimanapun ibu bapa sekarang mengambil kesempatan atas ‘kebaikan’ itu sehingga ada kes seperti pencerobohan sekolah; ibu bapa masuk ke sekolah hingga mengganggu proses pembelajaran dan ada juga guru menerima ancaman melalui telefon,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Semalam NUTP mengemukakan cadangan Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga kepada Kementerian Pendidikan dan meminta ia dilaksanakan segera bagi melindungi kebajikan guru.

Rahmat Sholihin berkata kod etika itu penting kepada guru bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dengan berkesan tanpa anasir negatif yang boleh merencatkan kewajipan mereka.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata selain menyokong cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga, pihaknya juga mahu penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dipercepatkan bagi memperhalusi keseluruhan sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, penubuhan itu sejajar dengan perubahan dasar pendidikan negara yang seiring berlaku dengan perubahan pimpinan di peringkat kementerian.

“Kita melihat masih ada lompong atau kelemahan dalam hala tuju pendidikan negara sekarang selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru walaupun mempunyai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025).

“Misalnya dalam kes Cikgu Azizan tiada prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan daripada kementerian untuk menilai dan menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum kes ini dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Cikgu Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak di Nilai, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun di hadapan tapak perhimpunan sekolah terbabit pada pukul 7 pagi, 6 April lalu.

Semalam, Mahkamah Majistret Seremban membebas tanpa melepaskan beliau daripada pertuduhan tersebut.- Bernama