BERSEMPENA tahun baru yang akan tiba tidak lama lagi, pengarah terkenal, Erma Fatima berazam untuk mengelakkan pembaziran dengan tidak lagi membeli barangan berjenama.
Memetik beberapa entri di Instagram, Erma menyifatkan bahawa barangan berjenama boleh mendorong serta menjadikan seseorang menjadi lebih riak.
“Inilah alatan masa kini yang akan menjadikan kita riak! Saya berikrar tidak akan membeli beg, kasut dan sebagainya yang berjenama selepas ini, kecuali Adidas dan Nike kerana ia adalah kasut harianku. Tiada lagi barangan berjenama. Tiada lagi pembaziran!” tulis Erma.
Dalam pada itu, Erma juga beranggapan tahun 2017 adalah tahun yang banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit buat dirinya selain merakam rasa syukur atas pengalaman yang mengajar dirinya untuk menjadi seorang yang lebih kuat.
Pada masa sama, beliau juga meluahkan rasa kesal kerana sanggup meninggalkan ibadah kepada Allah dek kerana komitmennya terhadap kerjaya. Sehubungan itu, beliau menanam azam untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.
“Apakah langkahku seterusnya selepas ini? Terlalu banyak ibadat terabai kerana kerja dunia.
“Ya Allah, ampunilah aku. Kurniakan kepada aku keteguhan dan kekuatan iman agar dapat aku menjalani ibadatku kepadamu mengikut ketetapan waktu.
“Kurniakan aku kekuatan agar dapat aku melawan segala bisikan syaitan yang tak jemu-jemu menghembus sifat malas dan melengahkan solat dalam diriku,” ujarnya memetik BH Online.
Sementara itu, Erma berkata lagi, kesibukan kerja tanpa rehat telah mengakibatkan dirinya berdepan dengan masalah kekurangan tidur.
Justeru, menjelang tahun baru ini,dia mahu memastikan kesihatannya selepas ini sentiasa terjaga dan lebih terjamin agar dapat memberi kelengkapan buat anak-anak kelak.
“Aku akan pastikan 2018 akan merubah sistem hidupku yang huru-hara. Tidur lepas Subuh. Dua hingga tiga jam sehari. Aku harus pastikan aku tidur sebelum jam 12 malam supaya kesihatan terjamin.
“Setidak-tidaknya, aku dapat hidup lama sikit untuk menyelesaikan segala tanggungjawab aku yang tersisa.
“Perjuangan hidup di dunia ini belum selesai. Tanggung Jawab aku untuk mempersiapkan hidup anak-anak aku adalah amanah Allah buatku.
“Aku harus pastikan semua kelengkapan hidup dunia dan akhirat tersedia buat mereka sebelum aku mati. Hidupku bukan hanya untukku, tetapi untuk emak, adik dan anakku. Di situlah kebahagiaan yang abadi buat aku,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Erma juga menyatakan selepas berpisah dengan bekas suami, Bade Azmi tanggungjawab dipikul kini semakin besar. – Kedahnews.com