SOFIA - Seorang wanita buta warga Bulgaria di sini meramalkan China bakal mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia pada tahun depan.
Beberapa individu yang mempercayai kuasa ghaib berpendapat, Baba Vanga yang turut dikenali sebagai ‘Nostradamus dari Balkan’ itu telah membuat ramalan sehingga abad ke-51 sebelum meninggal dunia.
Selain itu, Vanga meramalkan satu bentuk tenaga baharu akan ditemui di planet Zuhrah juga pada 2018.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pihak yang membuat perancangan menghantar misi bagi meneroka Zuhrah, sekali gus menunjukkan penemuan tenaga baharu di planet itu tidak mungkin menjadi kenyataan.
Tukang tilik buta tersebut sempat meramalkan beberapa perkara besar yang akan mengubah dunia sebelum meninggal dunia pada 1996 pada usia 85 tahun.
Antara kejadian besar yang pernah diramalkanya ialah mengenai ‘dua burung besi’ yang menyerang AS iaitu merujuk kepada serangan 9/11 pada 2001, kehadiran militan Daesh di Eropah dan peristiwa Brexit.
Perkara lain yang diramalkan wanita tua itu adalah penduduk dunia akan kelaparan menjelang 2028, koloni di planet Marikh mempunyai kuasa nuklear pada 2256 dan Bumi tidak akan berpenghuni pada 2341.
Sumber: Mstar Online