Bagilah Iqram Semangat - Zulin Aziz


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz terkilan dengan sikap segelintir netizen yang mengecam pelakuan pelik Iqram Dinzly di lnstagram sedangkan mereka tidak mengetahui situasi di sebaliknya.

Zulin berkata, masyarakat wajar memberi sokongan moral kepada aktor terbabit yang mungkin ketika membuat rakaman secara langsung itu berhadapan tekanan atau masalah.

"Aku tak faham yang sejenis pergi kat 'live' (Instagram) Iqram Dinzly, kemudian memaki-maki dia. Manalah tahu dia tertekan ke apa. Kau (netizen) tambah lagi buat apa. Kasihan aku tengok. Bagilah dia semangat atau doakan dia.

"Pada mulanya dia menari saja. Tetapi apabila orang mengusik dan kata dia macam-macam, sibuk hal dia, mungkin sebab itu dia buat lagi teruk sebab geram sangat," katanya menerusi Twitter.

Tambah Zulin, sebagai rakan dia mengenali pelakon terbabit sebagai lelaki yang berhati mulia dan baik malah tidak pernah meninggalkan kewajipan sebagai seorang Islam dengan menunaikan solat lima waktu.

"Iqram ini memang solat tak tinggal. Lepak dengan dia di pusat beli belah, dia cari surau. Datang rumah terbuka aku, dia minta tumpang solat. Bukan di buat-buat pun.

Baru-baru ini, Iqram menerima kecaman ramai apabila kebelakangan ini kerap berkongsi aksi secara langsung di laman sosial peribadinya dengan pelbagai pelakuan pelik termasuk menari.

Biarpun dia menegaskan ia sekadar gimik awal untuk mempromosikan perniagaannya, rata-rata terus menuduhnya mempunyai masalah mental selain melemparkan pelbagai kata cacian.

Sumber: BH Online