ALOR SETAR - Hujan lebat berpanjangan pada awal November lalu dikesan telah menyebabkan struktur konkrit tangga di Muzium Arkeologi Lembah Bujang dekat sini runtuh dan mendap dibawa arus.
Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pengunjung, pihak muzium tersebut meletakkan notis memaklumkan tangga itu tidak selamat digunakan.
Namun begitu, tindakan itu dianggap kurang berkesan kerana tangga itu terletak di laluan air dan tidak mustahil kejadian tanah mendap akan berulang jika hujan lebat hingga boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.
Hasil tinjauan di kawasan tersebut mendapati ramai pengunjung berharap masalah mendapan tersebut dapat diselesaikan segera oleh pihak berkenaan demi mengelak insiden buruk berlaku.
Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Shahzan Abd. Ghani, 43, dari Selayang, Selangor yang kali pertama mengunjungi muzium ini berasa terkejut mendapati kemudahan di situ kurang diberi perhatian bagi keselesaan pengunjung.
“Tangga ini merupakan laluan utama pengunjung ke tempat mandi-manda bersama keluarga selepas melawat galeri tetapi dibiarkan rosak lama.
“Dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, tanah di sekeliling tangga ini boleh runtuh dan membahayakan pengunjung jika lewat diambil tindakan,” katanya yang dipetik Utusan Online.
Menurut seorang remaja dari Singkir Darat, Tanjung Dawai, Mohd. Amir Haikal, 16, berkata, sejak tangga itu tidak boleh digunakan, orang ramai terpaksa melangkah tembok hingga merosakkan tanaman di sekeliling.
“Macam kami remaja tak apalah menggunakan laluan mana pun, tapi bagaimana pula dengan golongan wanita dan anak kecil kerana tempat berkelah terletak agak curam ke bawah serta dipenuhi batu besar yang boleh mendatangkan bahaya semasa dilalui,” ujarnya.
Malah, bagi seorang pengunjung, Rosinah Lajid, 53, berkata, runtuhan dan mendapan itu boleh mengundang bahaya jika kerja-kerja selenggaraan tidak dijalankan segera.
Pada masa sama, Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Azman Adam berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada ibu pejabat Jabatan Muzium Malaysia selepas memanggil kontraktor memeriksa dan membuat sebut harga untuk membaikinya.
“Pihak kita turut mengambil langkah keselamatan meletakkan notis bahaya selain menggerakkan anggota mengawasi kawasan berkenaan sepanjang masa terutama ketika ramai pengunjung untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. - Kedahnews.com