‘Baitulmaqdis Ibu Negara Israel Sejak 3,000 Tahun Lalu’


TANPA menghiraukan kecaman dan kemarahan antarabangsa, Isreal tampil dengan kenyataan baharu mengundang api kemarahaan umat Islam khususnya rakyat Palestin.

Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dengan angkuhnya mendakwa Baitulmaqdis telah menjadi ibu negara wilayah Yahudi sejak 3,000 tahun lalu dan menggesa Palestin menerima ‘realiti’ itu.

Pemimpin zionis itu malah mengatakan lambat atau cepat, dunia perlu sedar dan menerima kenyataan itu.

“Anda boleh baca dalam buku bertajuk ‘Bible’, baca sejarah komuniti Yahudi melalui diaspora kami. Mana lagi ibu negara Yahudi kalau bukan di Baitulmaqdis?

“Lebih cepat rakyat Palestin menerima ‘realiti’ ini, lebih cepat kita akan menuju keamanan,” katanya memetik agensi berita antarabangsa, BBC.

Netanyahu turut menegaskan Baitulmaqdis akan selamanya-lamanya menjadi ibu kota wilayah Yahudi kerana selama ini segala urusan rasmi sememangnya dibuat di situ.

“Di mana Knesset kita? Parlimen kita? Di mana mahkamah tertinggi kita? Kerusi kerajaan kita, Pejabat Perdana Menteri, pejabat Presiden?

“Tidak ada di Beersheba, tidak ada di Ashdod, ini adalah bandar-bandar yang indah.

“Tetapi di Baitulmaqdis, ia sentiasa menjadi ibu kota kita dan Baitulmaqdis  tidak pernah menjadi ibu negara kepada negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan protes umat Islam terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara menyebabkan beberapa protes bantahan berlaku.

Trump pada masa yang sama turut mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan dunia termasuk Malaysia yang mahu negara itu mengkaji semula keputusan tersebut kerana ia dilihat sebagai satu pencerobohan terhadap bangsa Arab dan umat Islam.  - Kedahnews.com