ALOR SETAR - Seorang bapa merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos perbelanjaan membeli alat bantuan pendengaran baharu kepada anaknya yang menghadapi masalah kurang upaya pendengaran sejak lahir.
K Muniappan 52, memberitahu anaknya M. Sarvin, 15, masih memerlukan sekurang-kurangnya RM40,000 bagi membeli alat bantuan baharu bagi menggantikan alat yang digunakannya sejak 2006 iaitu sejak anaknya itu berusia empat tahun.
"Alat bantuan yang lama itu telah rosak sejak dua tahun lalu dan tidak boleh membantunya lagi untuk mendengar. Alat yang baharu itu telah dimaklumkan oleh sebuah hospital universiti dengan kos sebanyak itu," katanya.
Muniappan adalah seorang penoreh getah dan tinggal di Kampung Chmpedak, Padang Lembu, Gurun.
Apa yang diberitahu, anak bongsu dari dua adik beradik itu menghadapi masalah pendengaran sejak lahir lagi, malangnya masalah yang dihadapi anaknya hanya dapat dikesan oleh keluarganya setelah anaknya itu berusia dua tahun.
Apa yang diberitahu, anak bongsu dari dua adik beradik itu menghadapi masalah pendengaran sejak lahir lagi, malangnya masalah yang dihadapi anaknya hanya dapat dikesan oleh keluarganya setelah anaknya itu berusia dua tahun.
Katanya Sarvin disahkan mengalami masalah saraf deria di kedua-dua belah telinganya dan telah menjalani pembedahan implan koklear (pembedahan untuk memasukkan alat elektronik) di telinga kirinya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2006.
"Selepas pembedahan tersebut, dia (Sarvin) dapat mendengar dengan baik kerana alat elektronik yang telah dimasukkan melalui pembedahan itu membantu memberikan deria bunyi kepadanya.
Tapi sejak dua tahun lalu alat tersebut telah mengalami kerosakan. Saya cuma baikinya kerana tidak mampu untuk menggantikan dengan alat yang baru namun sekarang kerosakannya semakin teruk dan sudah tidak boleh dibaiki lagi," katanya.
Sarvin juga ketika itu turut dapat berkomunikasi selepas menggunakan alat tersebut dan aktiviti sehariannya berjalan lancar seperti remaja normal yang lain namun kini pergerakannya agak terbatas setelah alat tersebut mengalami kerosakan.
Muniappan berkata dengan kos yang tinggi untuk membeli alat bantuan pendengaran yang baharu agak sukar buatnya kerana pendapatan bulanannya hanya sekitar RM900 sahaja.
"Sarvin ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM700 setahun namun ianya tidak mencukupi kerana kos untuk menggantikan alat tersebut terlalu tinggi," katanya.
Beliau berkata anaknya itu merupakan pelajar Kelas Pendidikan Khas Pendengaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui akaun bank Hong Leong, 32050078664 (Muniappan Kuttiappen) atau boleh menghubunginya di talian 019-4221255 - Kedahnews.com
