Batal IMAMS: Bukti Kerajaan BN Peduli Rakyat


KUALA LUMPUR – Keputusan membatalkan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) hanya selepas 24 jam ia dilancarkan membuktikan kerajaan bersikap peduli rakyat atau rakyat centric.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, keputusan kerajaan itu juga membuktikan kepekaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam soal rakyat.

“Saya menyokong sepenuhnya tindakan tersebut dan berharap kerajaan mampu mencari mekanisme terbaik supaya tidak timbul sebarang isu atau dituduh gimik politik.

“Oleh itu saya menyarankan agar kuasa terhadap Lesen Khas Umrah (LKU) diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri, bukannya di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nazir Hussin berkata, ibadah umrah adalah satu ibadah yang diwajibkan kepada kaum muslimin yang mampu sebagaimana haji, maka tidak sesuai jika dikategorikan sebagai melancong.

Malah, katanya, peraturan LKU menetapkan hanya warga tempatan beragama Islam boleh mengendalikan urusan umrah.

“Tabung Haji (TH) pula boleh diberikan tanggungjawab untuk memantau, namun kerajaan perlu meminda Akta TH 1995 bagi membolehkan TH berbuat demikian.

“Saya berasakan Tabung Haji layak diberikan tanggungjawab tersebut berdasarkan pengalaman dan diiktiraf cemerlang dalam menguruskan jemaah haji serta umrah,” katanya. - Kedahnews.com