ALOR SETAR - Jantung manusia normal terletak disebelah kiri dada, bagaimanapun seorang bayi perempuan, Nur Umairah Jaafar yang berusia 4 bulan memiliki jantung di sebelah kanan.
Kes luar biasa dan jarang ditemui didunia ini berlaku pada pasangan Jaafar Ismail,42, dan Zaleha Ishak, 37, yang tinggal di Kampung Banggol Serdang, Kuala Ketil, Baling, yang turut mengakui agak terkejut apabila dimaklumkan doktor mengenai perkara tersebut.
Menurut Zaleha yang merupakan ibu bayi berkenaan berkata, Umairah yang dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada 12 Ogos lalu didapati sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yag serius.
Namun, selepas menjalani pemeriksaan awal terhadap Umairah telah menemui satu keganjilan pada organ utama bayi terbabit dan segera dirujuk kepada pakar.
Justeru itu, pakar-pakar di hospital Pulau Pinang turut mengesahkan bahawa jantung bayi ini terletak di sebelah kanan dadanya.
Zaleha berkata, dia dan suami terpaksa membawa Umairah ke hospital setiap dua minggu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurut laporan dari Kosmo TV, bayi unik itu bakal berjumpa pakar untuk pemeriksaan ulangan kesihatan pada 28 Februari 2018.
Pasangan ini turut memiliki 3 lelaki dan 3 perempuan termasuk Umairah yang merupakan anak bongsu. -Kedahnews.com