MELAKA - Ghairah mendapatkan beg berjenama menyebabkan ada kalangan pengguna tertipu membeli beg tiruan terpakai dalam laman sosial sehingga mencecah ratusan ringgit.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, peniaga terbabit mengaburi mata pelanggan dengan dengan ayat-ayat manis kononnya barangan yang dijual adalah 'original bundle'.
Sedangkan, katanya, ia sebenarnya beg tiruan yang dibuat hampir sama dengan beg berjenama mewah seperti Louis Vuitton dan Hermes Birkin termasuk turut dijahit nombor siri datecode pada beg melalui teknologi penghasilan beg tiruan yang semakin canggih.
Beliau berkata, peniaga terlibat menawarkan harga antara RM500 hingga RM800 bagi sebuah beg berjenama tiruan itu.
"Malah,ada yang lebih berani membuat jualan menerusi secara langsung di Facebook sehingga menarik ratusan pelayar dengan menyatakan ia adalah beg dari bundle original.
Menurutnya, perbuatan peniaga itu secara tidak langsung menjejaskan nama peniaga bundle sedia ada, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan wanita tidak terlalu ghairah membeli beg berjenama sehingga tertipu.
“Bukan sekadar pilihan pada jenama tetapi pemilihan perlu juga dibuat berdasarkan pada wang yang dikeluarkan adakah kualitinya setanding dengan jenamanya.
“Pada masa yang sama peniaga juga perlu menjalankan aktiviti perniagaan yang beretika dan telus dalam menyampaikan info kepada pengguna.
"Sekiranya beg itu bukan asli tetapi ia beg premium atau gred perlu dinyatakan secara jelas, agar pengguna tidak berasa tertipu,” katanya di sini, semalam.
Azlin berkata, pengguna juga boleh mengetahui keaslian beg itu dengan membuat semakan dalam laman sesawang menerusi nombor siri yang terdapat pada beg.
"Namun, ia berbalik kepada pengguna itu sendiri yang perlu lebih peka dan berhati-hati ketika membuat pilihan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna yang tertipu supaya membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) yang juga sedang giat aktif membanteras penjualan barangan tiruan seperti itu.
Sebelum ini, tular dalam laman sosial sejak beberapa bulan lalu mengenai penjualan beg tangan Hermes Birkin yang didakwa asli, sedangkan dipercayai dibawa masuk dari negara Thailand.
Sumber: Sinar Harian