ALOR SETAR - Seramai 91 bekas pekerja Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Ladang Temin kini menarik nafas lega apabila menerima pampasan setimpal dengan perkhidmatan mereka selepas berhenti kerja pada Jun 2017.
Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Iskandar Jassa berkata, sebelum ini, sekumpulan pekerja terlibat menuntut penjelasan kerana menerima pampasan tidak sama daripada bekas majikan mereka.
“Difahamkan, bekas pekerja terdiri daripada penoreh dan pemandu lori terlibat mendakwa menerima pampasan berbeza walaupun jawatan serta tempoh perkhidmatan masing-masing sama.
“Selepas JTK membuat semakan semula peruntukan berdasarkan aduan diterima, kita dapati majikan memang perlu menjelaskan bayaran pampasan diminta bekas pekerja itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek kepada 25 pekerja di Pejabat Tenaga Kerja Alor Setar, Anak Bukit, di sini.
Menurutnya, masalah bayaran pampasan berbeza dialami pekerja kini boleh dianggap selesai apabila mereka menerima bayaran pampasan sepatutnya.
"Majikan bersetuju menjelaskan pampasan melibatkan 91 pekerja dengan nilai pampasan keseluruhan sebanyak RM 572,284," katanya.
Iskandar berkata, bekas pekerja terlibat kini boleh meneruskan aktiviti harian dan pekerjaan mereka seperti biasa tanpa kebimbangan lagi.
"Sebahagian bekas pekerja masih meneruskan perkhidmatan di tempat sama iaitu Ladang Laka Temin bagaimanapun di bawah pengurusan baru.
"Selebihnya pula mengambil keputusan mencari rezeki di tempat lain selepas berhenti kerja di ladang itu pada enam bulan lepas," katanya.
Sumber: Sinar Online