Bengkel Senjata Api Haram Ditemui Di Rumah Kongsi



PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Negeri Kelantan telah membongkar sebuah bengkel membuat senjata api dalam serbuan ke atas penempatan kongsi pekerja asing di kawasan tanah rancangan di Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan malam kelmarin.

Bengkel yang terletak di sebelah penempatan asrama pekerja asing yang diuruskan oleh sebuah syarikat perladangan terkemuka negara itu ditemui semasa penguat kuasa Imigresen memeriksa kawasan tersebut dalam Ops Kutip.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemeriksaan terhadap bangsal yang dilengkapi dengan bekalan elektrik itu turut menjumpai peralatan-peralatan membuat senjata api.

Katanya, pasukan penguat kuasa tersebut turut menemui selaras senapang yang sudah siap dan tiga laras senapang masih dalam pembuatan termasuk sebotol bekas mengandungi bola besi dipercayai peluru untuk senjata berkenaan.

“Ini bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi yang dijalankan oleh Imigresen. Sebelum ini pihak kami turut menemui senjata api dalam serbuan-serbuan yang dijalankan dan ini membuktikan bahawa kehadiran warga asing di Malaysia bukan hanya sekadar pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi ia turut menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Sumber: Kosmo