Biarpun Sudah Bertudung, Masih Dianggap Lesbian


Meskipun dia sudah tampil dengan imej bertudung, Ardell Aryana mengakui masih ada wanita-wanita yang mengirim mesej peribadi di laman Instagram menyatakan ingin menjadikan dia sebagai kekasih.

Memetik laporan mStar, Ardel berkata dia bagaimanapun tidak mengambil peduli perkara berkenaan sebaliknya memadam mesej-mesej tersebut.

“Masih ada lagi wanita-wanita yang mesej secara peribadi di laman Instagram nak jadikan saya kekasih mereka.

“Biarpun saya dah bertudung pun masih lagi ada orang anggap saya lesbian. Tapi saya padam sahaja mesej tersebut,” katanya, lapor MD.

Sebelum ini, pelakon drama Aku Bukan Bimbo itu pernah dikaitkan menjalinkan hubungan songsang disebabkan penampilan berambut pendek seperti lelaki.

Dalam pada itu Ardel berkata, sejak setahun lalu menyimpan hasrat untuk melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya namun terpaksa ditangguh atas urusan kerja.

Dia akhirnya nekad untuk berhijab pada pertengahan bulan September lalu ketika bercuti seorang diri ke Pulau Bali, Indonesia.

Mengenai perkembangan karier, katanya, walaupun terlepas banyak tawaran berlakon selepas dia tampil dengan imej bertuung, namun pelakon Ardell Aryana mengakui dia tidak kecewa mahupun berkecil hati.

Dia memahami keputusan produksi yang membatalkan tawaran kerana berkemungkinan watak yang ditawarkan tidak sesuai dengan penampilannya yang sekarang.

“Saya sudah empat kali ditolak tawaran berlakon selepas pihak produksi dapat tahu yang saya kini sudah bertudung.

“Mungkin sebab watak yang ditawarkan tidak sesuai. Namun, saya tak rasa sedih atau kecil hati.

“Sebab saya percaya ada rezeki yang lain akan datang dan Alhamdulillah, selepas daripada itu, saya ada menerima beberapa tawaran yang lebih baik,” katanya.

Sumber: Suara TV