Bomba Kedah Beri Latihan Intensif Penghuni Pusat Tahfiz


KULIM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan mula memberi latihan menyelamatkan diri daripada kebakaran secara intensif kepada penghuni pusat tahfiz bermula tahun hadapan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Nazri Zakaria berkata, ini berikutan hasil pemeriksaan dan kajian yang mendapati masih ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku kebakaran di pusat pengajian mereka.

“Kebanyakan mereka menghuni di rumah yang diubah suai menjadi pusat tahfiz dan sudah tentu terdedah kepada risiko kebakaran, jadi dengan latihan ini, sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan diri,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Zon 3 di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mendapati 80 peratus daripada 70 pusat tahfiz yang diperiksa di daerah ini gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Kita telah memberi notis agar pusat tahfiz yang berkenaan meningkatkan tahap keselamatan di tempat mereka. JPBM sendiri akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan pusat pengajian ini selamat. – BERNAMA