KANGAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perlis akan mengkaji keperluan mewujudkan ‘Fire Post’ (FP) sebagai langkah untuk mempercepatkan respons bomba ke tempat kejadian jika berlaku sebarang insiden.
Timbalan Pengarah Bomba Perlis Mohd Khairull Rizall Yahya berkata, setakat ini terdapat lima balai bomba iaitu di Kangar, Arau, Padang Besar, Kuala Perlis dan Simpang Empat di negeri ini.
“Keadaan di negeri ini juga tidaklah terlalu sibuk, seperti aliran trafik tingggi atau waktu puncak dan kami boleh sampai dalam tempoh 10 minit selepas terima panggilan.
“Tapi kami akan mengkaji kawasan yang berisiko berlaku insiden atau kebakaran (untuk wujudkan FP) supaya jentera boleh sampai dengan lebih cepat untuk memberi bantuan,” katanya kepada pemberita selepas hadir perhimpunan bulanan di Dewan Warisan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama sangat baik daripada pasukan bomba sukarela dalam membantu pihaknya menjalankan operasi.
Dalam pada itu katanya, jumlah panggilan kecemasan yang diterima oleh bomba Perlis adalah 305 panggilan setakat Oktober tahun ini.
“Majoriti panggilan kecemasan yang diterima adalah melibatkan operasi menyelamat seperti budak terkunci dalam kereta, mangsa lemas dan kemalangan jalan raya,” katanya. – Bernama