Budaya Takut Punca Tidak Lanjut Kontrak Yang Zhuliang


SAYA ingin merujuk kepada keputusan Institut Sukan Negara (ISN) untuk tidak melanjutkan perkhidmatan Encik Yang Zhuliang sebagai Ketua Jurulatih sukan terjun negara.

Tidak ada sesiapa boleh menafikan kejayaan Zhuliang sebagai Ketua Jurulatih Terjun Malaysia. Sejak dilantik sebagai Ketua Jurulatih pada tahun 2008, beliau telah berjaya bawa negara ke puncak kejayaan sukan terjun di pentas dunia.

Di antara kejayaan beliau adalah membantu Pandelela Rinong mendapat pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012, membantu gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong mendapat pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan melatih Jun Hoong muncul sebagai juara dunia dalam acara 10 meter Platform di Kejohanan Dunia Budapest 2017 baru-baru ini.

Walaupun berasal dari negara China, beliau adalah wira sukan Malaysia yang wajar disanjung tinggi. Namun begitu, di samping kejayaan cemerlang beliau, ada beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Perkara-perkara tersebut telah dibawa ke perhatian saya oleh pihak ISN, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Mereka telah membuat syor masing-masing dengan maklumat terperinci dan akhirnya saya telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Zhuliang.

Setelah itu, saya mengarahkan ISN untuk mengumumkan keputusan tersebut. Saya juga mengarahkan ISN supaya menjaga aib dan reputasi semua pihak agar pengumuman ini tidak bawa tanggapan negatif kepada sukan Malaysia.

Mungkin disebabkan arahan itu, ISN tidak dapat memberi penjelasan yang lengkap dan terperinci. Ini sekaligus telah mengundang lebih banyak lagi persoalanan tentang nasib Zhuliang.

Maka oleh kerana itu, saya tiada pilihan lain selain memberikan pendedahan penuh tentang perkara ini.

Sebab utama kontrak Zhuliang sebagai Ketua Jurulatih Terjun Negara tidak dilanjutkan adalah kerana wujud satu budaya dan persekitaran ketakutan atau ‘culture and environment of fear’ di kalangan sebahagian atlet terjun kita.

Budaya dan persekitaran ini telah mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan.

Walaupun Zhuliang sendiri tidak terlibat dalam perkara-perkara tersebut, beliau telah membenarkan ia merebak tanpa kawalan walaupun setelah beberapa amaran diberi kepada beliau dan seorang lagi jurulatih yang amat rapat dengan beliau.

Selepas jurulatih tersebut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2017 mengikut Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol atlet terjun negara, persekitaran dan suasana latihan pasukan terjun kebangsaan menjadi lebih rumit.

Selepas timbul kes rogol yang melibatkan jurulatih dan atlet terjun negara pada Oktober yang lalu, saya telah minta Datuk Marina Chin untuk melihat dan menyiasat bagaimana perkara seumpama ini dapat dielakkan daripada berlaku dalam sukan Negara.

Hasil siasatan beliau menunjukkan bahawa wujudnya budaya toksik diselubungi ketakutan atau ‘culture and environment of fear’ merentasi hampir keseluruhan sukan terjun ini.

Inilah sebab utama saya memilih untuk tidak menyambung kontrak beliau. Tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar untuk membuat dasar bagi mencapai kejayaan sukan Malaysia di peringkat tertinggi tetapi juga untuk menjaga kebajikan atlet negara dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Tiada mana-mana pingat emas yang nilainya lebih tinggi daripada keselamatan atlet negara. Saya juga sedar, Sukan Komanwel dan Sukan Asia hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Pihak ISN dan ASUM telah mengenal pasti seorang jurulatih dari Australia yang boleh membantu jurulatih sedia ada, Zhang Yukun, yang akan menjalankan tugas sebagai Ketua Jurulatih.

Rombakan ini akan memastikan persiapan atlet terjun untuk kedua-dua temasya ini tidak terganggu. Barisan baharu jurulatih ini telah diminta untuk mengintegrasi sepenuhnya aspek sains sukan.

Ini seperti latihan kekuatan (conditioning), latihan mental, analisa biomekanik dan aspek nutrisi yang tidak dimanfaatkan secara menyeluruh sebelum ini.

Namun, seperti yang saya tegaskan dengan jelas dalam kenyataan ini, kebajikan dan keselamatan atlet terjun negara adalah keutamaan saya dalam keputusan ini. Tiada keutamaan yang lebih utama.

Jika perlunya sebuah rombakan besar agar masa depan sukan terjun bebas daripada kes rogol, gangguan seksual, tindakan memukul, keganasan, buli dan ugutan maka itulah keputusan yang wajar dibuat. – Kedahnews.com