Bukan Lesen Jual Susu Tiruan


ISKANDAR PUTERI - Pihak berkaitan digesa melakukan operasi dan pemantauan bagi membendung penjualan susu rumusan bayi tiruan di pasaran.

Exco Kesihatan, Datuk Ayub Rahmat berkata, meskipun hasil analisis yang diumumkan Kementerian Kesihatan terhadap susu rumusan bayi yang dirampas di negeri mendapati produk tersebut selamat digunakan, namun langkah pencegahan perlu dijalankan secara berterusan.

Menurutnya, gesaan itu disuarakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan.

Beliau turut menyeru pembekal dan pengedar susu rumusan bayi juga perlu bertanggungjawab bagi memastikan produk yang dibekalkan di pasar raya dan kedai runcit adalah yang asli.

“Kita bernasib baik kerana susu rumusan bayi yang dirampas baru-baru ini adalah selamat, namun itu bukanlah satu lesen bagi membenarkan ia dijual kepada pengguna.

“Justeru, saya gesa KPDNKK supaya kerap melakukan operasi dan pemantauan dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikan produk yang dipasarkan kepada pengguna adalah terjamin, bermutu dan asli,” katanya selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Ambitious Academy kali pertama di sini, semalam.

Turut hadir adalah Ketua Eksekutif Ambitious Academy, Chin Wei Choong dan Principal Ambitious Academy, Rosmadiah Sulaiman.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisis yang dijalankan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan bawah kementerian dan Jabatan Kimia Malaysia mendapati produk tersebut adalah selamat.

Bagaimanapun produk itu tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983 iaitu dari segi kandungan lemak.

Pada 10 Disember lalu, KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000 yang disyaki tiruan di lima lokasi berbeza di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Ayub meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat dan membuat laporan sekiranya terdapat lagi kes susu rumusan bayi tiruan di pasaran.

Sumber: Sinar Online