Bukit Enggang Di Sik Terus Digondol


ALOR SETAR - Sahabat Alam Malaysia ( SAM) kesal apabila Hutan Simpanan kekal Bukit Enggang terus digondol melibatkan kompartmen 18, berkeluasan 15.0 hektar bagi tujuan projek kuari.

Menurut presidennya, S.M  Mohamad Idris berkata, pihaknya mendapati pokok-pokok hutan ditebang dan hasilnya dikeluarkan secara berperingkat.

"Selepas kegiatan pembalakan secara tebang habis seluas 500 hektar untuk tujuan projek ladang hutan dibuat di kompartmen 12,13,14 dan 15 . Kini kerajaan negeri meluluskan pula aktiviti kuari di kompartmen 18.

"SAM dapati seluas 15.0 hektar kawasan itu bakal dijadikan projek kuari. Pokok-pokok di situ mula ditebang dan dibawa keluar," katanya yang dipetik Sinar Online.

Tambahnya, kelulusan kuari dalam kawasan hutan simpan adalah tidak wajar dan bercanggah dengan  ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ( MTN) ke-70 pada 2014. -Kedahnews.com