BOTA - Seorang buruh kampung ditahan selepas dipercayai mengganggu seorang janda dengan menghantar bahan berunsur lucah di kediaman wanita itu di Kampung Bakong, Lambor Kiri, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit telah menghantar surat dan CD lucah ke rumah wanita berusia 52 tahun berkenaan.
Kata beliau, kesemua barangan itu telah diletak dalam sampul berwarna putih dan diselit di bawah pintu rumah mangsa.
“Mangsa hanya menyedari bungkusan itu ketika dia membuka pintu rumahnya sekitar jam 7.15 pagi.
“Suspek telah mengumpan pengadu dengan CD dan tulisan lucah yang dihantarnya dalam sampul ke rumah mangsa dengan tujuan mengajak wanita itu melakukan hubungan seks dengannya.
“Dalam surat yang dihantar itu juga, lelaki terbabit memberitahu mahu datang ke rumah wanita itu pada jam 12 malam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil daripada laporan polis yang dibuat oleh mangsa, pihaknya telah berjaya menahan lelaki berkenaan dan ujian urin yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Kita akan menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan," katanya.
Mangsa merupakan seorang ibu tunggal dan tinggal seorang diri di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu.
Sumber: Astro Awani