SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng kini dilihat semakin tertekan apabila mencabar MCA agar memutuskan hubungan dengan UMNO atau keluar daripada Barisan Nasional (BN) atas alasan UMNO 'semakin rapat' dengan PAS.
Apakah kerana kenyataan MCA baru-baru ini yang menggambarkan "negara akan hancur jika pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dilantik sebagai Perdana Menteri" juga menyebabkan Guan Eng begitu marah sekali.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa berucap di Johor baru-baru ini mengingatkan masyarakat Cina menjauhi parti itu kerana pemimpin DAP bukan saja tidak boleh dipercayai, malah tiada prinsip kerana lebih mengutamakan agenda peribadi dan mengejar kuasa.
"Memang impian Kit Siang sejak dulu untuk menggulingkan kerajaan demi untuk mendapatkan kuasa", kata Tiong Lai.
Adakah Guan Eng juga bimbang MCA kini lebih kuat dan bakal menggugat DAP pada PRU14 membuatkan beliau membuat cabaran itu.
Dalam hal ini, Guan Eng seolah-olah mahu MCA mencontohi tindakan DAP yang tidak ingin lagi bersama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana parti Islam itu didakwa tiada prinsip.
Jika PAS ingin bersama UMNO, tidak mungkin PAS bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh UMNO. Lagi pun PAS hanya akan bersama UMNO dalam perkara berkaitan agama dan umat Islam seperti juga masyarakat Cina akan duduk bersama dalam memperjuangkan isu ekonomi dan budaya.
Bagaimanapun Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan Guan Eng itu kerana semata-mata ingin mengalih perhatian mengenai kerjasama DAP dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor ketika ini.
Menurut Ka Siong, Guan Eng perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana DAP pernah mengadakan kerjasama yang baik dengan PAS pada PRU lalu, malahan memberitahu kepada pengundi bahawa 'undi PAS bermakna undi DAP'.
"Kenapa DAP ingin bekerjasama dengan PAS dalam PRU lalu? Kenapa sekarang pula nak membidas MCA? Guan Eng perlu rasa malu kerana pendiriannya telah berubah dengan membuat U turn," kata Ka Siong.
Guan Eng yang sedang menghadapi tuduhan rasuah juga kini menghadapi tekanan kerana beberapa pemimpin DAP turut menentangnya dan meninggalkan parti.
Kenyataan Guan Eng agar MCA tinggalkan komponen BN menggambarkan DAP amat bimbang dengan kekalahan Pakatan Harapan pada pertandingan tiga penjuru setelah PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi dengan pakatan pembangkang kali ini.- Kedahnews.com