Cameron Catat Rekod Paling Sejuk


PUTRAJAYA - Cameron Highlands, Pahang merekodkan suhu terendah di Malaysia pada 2016 dengan 16.2 selsius manakala, Jerantut, Pahang pula mencatat suhu tertinggi dengan 34.2 darjah selsius.

Data berkenaan dikongsi Jabatan Perangkaan Negara menerusi Kompendium Perangkaan Alam Sekitar (KPAS) 2017 yang dimuat naik di lawan web jabatan itu Khamis lalu.

KPAS 2017 memaparkan statistik alam sekitar bagi tempoh 2012 hingga 2016/2017 meliputi udara, air (darat dan marin), tanah dan bandar serta penempatan penduduk.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Perangkaan Malaysia berkata, penyusunan statistik ini meliputi maklumat alam sekitar, impak aktiviti manusia ke atas alam sekitar dan langkah yang diambil bagi mengurangkan impak tersebut di mana sumber data berkenaan diperoleh daripada pelbagai agensi.

“Malaysia mengalami iklim panas dan lembap pada 2016 di mana suhu terendah dicatatkan Cameron Highlands manakala suhu tertinggi direkodkan di Jerantut.

“Bagaimanapun, bacaan itu meningkat berbanding 2015 di mana suhu terendah yang dicatatkan di Cameron Highlands adalah 15.9 darjah selsius dan suhu tertinggi iaitu 33.8 darjah selsius pula direkodkan di Temerloh,” katanya.

Selain itu, data sama memaklumkan, stesen bacaan taburan hujan di Kuching, Sarawak mencatatkan jumlah hujan tahunan tertinggi dengan bacaan 5,423 milimeter (mm) dengan peningkatan sebanyak 877.5 mm berbanding 2015 iaitu 4,545.5 mm.

“Manakala, hujan tahunan terendah pula dicatatkan di stesen Temerloh iaitu 1,397.8 mm pada 2016 berbanding 1,193.2 mm pada 2015,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jumlah Hutan Simpanan Kenal (HSK) di negara ini pada tahun 2016 adalah seluas 12.8 juta hektar daripada keluasan negara dengan 0.7 hektar adalah hutan paya gambut dan 0.6 hektar pula membabitkan hutan paya laut.

“HSK berperanan untuk mengawal air larian yang berlebihan dan berkeupayaan untuk menakung air,” katanya.

Sementara itu, katanya, permintaan kepada sumber air bersih meningkat seiring dengan pertambahan penduduk negara yang kini mencecah 32 juta orang pada 2017.

Menurutnya, pada 2016, jumlah pengeluaran air yang dibekalkan kepada pengguna meningkat 377 juta liter sehari kepada 16,536 juta liter sehari berbanding tahun 2015.

“Sebanyak 95.7 peratus penduduk Malaysia dibekalkan dengan air paip membabitkan 97.2 peratus penduduk bandar dan 93.5 peratus penduduk luar bandar pada tahun sama,” katanya.

Sumber: MyMetro