CEO Kumpulan Pos Malaysia Letak Jawatan


KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Pos Malaysia Bhd, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh mengumumkan peletakan jawatan, berkuatkuasa 31 Dis 2017.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, Shukrie telah memberi perkhidmatan terbaik, sepanjang tempoh bertugasnya kepada Pos Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif penting.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam pengambilalihan aset berkaitan logistik termasuk menerajui kerjasama strategik dengan Lazada Malaysia, salah satu elemen terpenting dalam Zon Perdagangan Bebas Digital yang baru dilancarkan oleh kerajaan serta bekerjasama dengan Tigers Limited dari Hong Kong, antara lain.

“Ini menyebabkan saham-saham Pos Malaysia mencecah harga tertinggi dan seterusnya, menjadi permodalan pasaran yang tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah Pos Malaysia juga mengumumkan bahawa Datuk Azlan Shahrim juga sebagai GCEO sementara dan akan memberi laporan kepada Lembaga Pengarah sehingga pelantikan calon yang sesuai. – Bernama