Cermin Kereta Dipecah Pencuri Di Pokok Sena


ALOR SETAR - Penjenah dilihat semakin berani dan menjadi-jadi untuk melakukan kegiatan pecah cermin kenderaan jemaah di Masjid An Nur, Pokok Sena.

Difahamkan kejadian ini mula beranak-pinak sejak tiga bulan yang lalu.

Terbaru, seorang jemaah dari Kampung Jambu, Mukim Gajah Mati tidak menyangka kejadian sama berulang lagi, pada malam Khamis lalu.

Mangsa Mohd Firdaus Abd Rahim, 24, berkata, dia yang baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak di masjid itu, mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan keretanya dipecahkan sehingga kaca bertaburan di tempat duduk.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku dia da ternampak dua lelaki di sekitar kawasan parkir dalam keadaan mencurigakan, namun suspek yang menunggang motosikal sempat melarikan diri.

"Bila dah dekat dengan kereta, saya tengok cermin sebelah kiri dah pecah sementara barangan dan dokumen berselerak. Saya yakin mereka cari benda berharga di dalam kereta saya, tapi tak jumpa.

"Kali ni saya letak kereta di depan rumah imam masjid supaya lebih selamat berbanding hanya letak di parkir masjid, tapi nasib tak baik juga sebab mengalaminya sekali lagi,” katanya.

Tambahnya, kejadian malang yang menimpanya itu merupakan kali kedua berlaku di kawasan parkir tersebut.

“September lalu semasa saya solat di masjid ini, cermin kiri dipecahkan dan terpaksa ganti dengan harga RM200. Dan kini saya terpaksa tukar sekali lagi.

"Saya reda dengan apa yang terjadi, namun berharap pihak masjid turut memasang CCTV di luar supaya masalah kecurian dapat dipantau. Saya juga berharap polis dapat meningkatkan rondaan terutama pada waktu solat Asar dan Isyak,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid An Nur, Mat Zaki Ahmad tidak menafikan kerap menerima aduan berhubung jenayah tersebut daripada jemaah yang mnejadi mangsa.

"Kejadian sering berlaku ketika jemaah bersolat. Sebagai peringatan awal, pihak masjid telah memasang papan tanda supaya jemaah tidak menyimpan barang berharga dalam kenderaan.

"Pihak masjid tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara tidak diingini. Bagi mengatasi masalah itu, kami bekerjasama dengan polis untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan masjid. Selain itu, kami bercadang memasang CCTV bagi memantau sebarang kejadian di kawasan parkir,” katanya. - Kedahnews.com