KUALA LUMPUR 8 Dis. – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sanggup memendekkan percutiannya demi membantu Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas 2018.
Chong Wei, 35, mengesahkan akan beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang berlangsung di Alor Setar dari 6-11 Februari depan. Kejohanan tersebut menjadi pentas kelayakan ke Piala Thomas di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei.
“Piala Thomas adalah untuk negara, pasukan dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Saya tidak boleh tolak kerana kejohanan ini sangat penting buat Malaysia dan pasukan.
“Dulu saya boleh tidak main (Kelayakan Piala Thomas) kerana ranking kita tinggi, walau apa pun berlaku kita tetap layak bermain dalam Piala Thomas tetapi sekarang tidak boleh.
“Beregu lelaki dipecahkan sebelum ini dan kemudian digandingkan semula, jadi ranking ada turun sikit dan aksi kelayakan kali ini sangat penting untuk kita layak ke Bangkok tahun hadapan. Saya perlu ubah perancangan sikit dan akan bincang semula dengan Hendrawan (jurulatih perseorangan lelaki),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini semalam.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu sebelum ini bercadang untuk bercuti dua bulan sebelum memulakan musim 2018 yang sibuk kerana bukan sahaja perlu beraksi dalam Piala Thomas, malah Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia berada di kedudukan ketujuh di depan Indonesia, India dan Hong Kong.
Malaysia masih berpeluang layak secara ranking sekiranya gagal berada dalam kelompok empat terbaik dengan syarat Korea Selatan, China, Jepun dan Taiwan layak ke pusingan separuh akhir di Alor Setar.
Bagaimanapun peluang Malaysia akan berkubur seandainya, Indonesia, India dan Hong Kong berada dalam senarai empat terbaik.
Sumber: Utusan Online