ALOR SETAR - Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 mungkin akan diuruskan Ciclista Sports Sdn Bhd pada Mac tahun depan.
Menurut sumber yang dipercayai, wakil syarikat berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi berbincang beberapa hari lalu.
"Mereka memohon bantuan teknikal PKBM bagi penganjuran perlumbaan berstatus hors classe itu.
"Pada masa yang sama, mereka turut menyuarakan hasrat menganjurkan perlumbaan sebanyak 10 peringkat, tambahan dua peringkat berbanding edisi tahun ini," katanya memetik kenyataan itu.
Untuk makluman, Ciclista Sports Sdn Bhd turut menganjurkan LTdL pada tahun ini.
Bagaimanapun sehingga kini, masih belum ada pengumuman rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai perkara berkenaan.
Edisi ke-22 LTdL yang berlangsung pada 22 Februari hingga 1 Mac lalu membabitkan lapan peringkat perlumbaan. -Kedahnews.com