ALOR SETAR - Gara-gara mengandaikan PAS kononnya kini menjalin kerjasama rapat dengan UMNO, DAP cuba menghasut MCA yang merupakan salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan parti kerajaan itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mendakwa kononnya atas dasar prinsip, partinya tidak ingin lagi untuk membentuk kerjasama dengan PAS dan memutuskan hubungan dengan parti tersebut.
"Apa yang DAP cakap akan terus dilakukan. Buktinya, apabila DAP ingin putuskan hubungan PAS kerana PAS memilih untuk berbaik-baik dengan UMNO, DAP terus putus hubungan dengan parti Islam ini," katanya memetik laporan China Press.
DAP sebelum ini menjalin hubungan dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat pada 2008 sebelum bertindak memutuskan hubungan dengan parti itu sejurus selepas pemilihan agung PAS yang menyaksikan Mohamad Sabu dan rakan-rakannya tewas teruk dalam pemilihan tersebut.
PAS mendakwa wujud gerakan pihak luar yang cuba campur tangan dalam pemilihan parti tersebut dengan dominasi pemimpin tertentu bagi merebut jawatan tertinggi di dalam PAS, namun usaha tersebut gagal.
Desas-desus mengatakan bahawa calon-calon yang menjadi "ayam tambatan" DAP dan PKR ketika itu telah berjaya ditewaskan pada pemilihan berkenaan, sekaligus mengembalikan dominasi kepimpinan ulama di dalam PAS.
Sejak itu, DAP bertali arus menyerang kepimpinan PAS yang baru sehingga mencetus ketegangan politik dan akhirnya melarat menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat serta penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) yang diketuai Mat Sabu.
Mat Sabu kemudian menyertai Pakatan Harapan bersama DAP dan PKR, serta kemudian gabungan itu disertai pula parti serpihan baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
PPBM ditubuhkan selepas anak Mahathir, Dato' Seri Mukhriz Mahathir terpaksa meletak jawatan ekoran dari undi tidak percaya yang diadili oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika itu tidak menyebelahinya.
Para pemerhati politik berpandangan bahawa PAN dan PPBM ditubuhkan oleh pemimpin politik PAS dan UMNO yang kecewa akibat kehilangan jawatan di dalam parti bagi meneruskan survival mengejar kuasa politik. - Kedahnews.com