DAP kini tidak lagi mempercayai ahlinya sendiri terutama mereka yang berani menyuarakan pandangan untuk kebaikan rakyat.
Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dihalang daripada mengurus bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan DAP Pulau Pinang melarang pula wakil rakyat DAP daripada berbuat demikian.
ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang selama ini diberi tanggungjawab berkhidmat kepada penduduk di kawasan DUNnya itu, telah digantikan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.
Yee Cheu adalah antara pemimpin DAP yang sering mengkritik dan tidak sehaluan dengan dasar serta polisi kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
Yee Cheu merupakan wakil rakyat kedua selepas ADUN PKR Kebun Bunga, Cheah Kah Peng yang dilarang menguruskan bantuan banjir kepada penduduk itu seperti yang diumumkan Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas bencana berkenaan 5 November lalu.
Larangan terhadap Yee Cheu menguruskan bantuan itu turut disahkan Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang ketika bercakap kepada portal propembangkang di sini.
Menurut Zairil, keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan Yee Cheu sebelum ini yang secara terbuka mendedahkan akan mempertimbangkan untuk meninggalkan DAP dan bertanding menentang pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, tambah Zairil, keputusan melarang Yee Cheu turun padang menyelaras bantuan banjir untuk penduduk di kawasannya juga berdasarkan prestasi beliau sebagai wakil rakyat yang disifatkan tidak memuaskan.
Ujar beliau, Yee Cheu juga kerap kali sukar dihubungi selain sering tidak hadir dalam program yang dianjurkan kerajaan negeri melibatkan penduduk di kawasan yang diwakilinya.
Sebelum ini, kerajaan DAP Pulau Pinang dikritik banyak pihak ekoran keputusan menghalang Kah Peng dmenguruskan bantuan tersebut atas alasan sama iaitu prestasi sebagai wakil rakyat beliau yang tidak memuaskan.
Tindakan itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin PKR negeri ini yang menyifatkan kerajaan DAP Pulau Pinang menafikan demokrasi dan hak penduduk yang memilih Kah Peng sebagai wakil mereka. - Kedahnews.com
