Dapatkan Permit Sebelum Daki Hutan


TAPAH - Individu yang ingin mendaki terutama kawasan hutan wajib memohon permit daripada Jabatan Perhutanan negeri berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sekretariat Program Jambori Pendaki Malaysia, A. Halim Ngah Ismail berkata, sehubungan itu, bakal pendaki mesti memiliki ilmu asas pendakian.

"Ramai pendaki yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu tidak peka mengenai penting dan perlunya memohon permit untuk tujuan keselamatan kerana mereka menganggapnya isu remeh.

"Ini kerana apabila membuat permohonan kebenaran, semua maklumat peribadi perlu disalurkan kepada pihak polis di samping polis membuat pengiraan berapa orang masuk hutan berkenaan pada tarikh berkenaan untuk keselamatan mereka," katanya kepada Bernama bersempena Program Jambori Pendaki Malaysia di sini, semalam.

Program selama tiga hari dua malam yang bermula semalam itu diadakan di  kawasan Hutan Lipur atau Taman Eko Rimba (TER) Kuala Woh di sini dan disertai 115 orang.

A. Halim yang juga dikenali sebagai Ayien Carlos dalam kalangan pendaki negara ini berkata mereka yang gagal menunjukkan permit boleh disiasat dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.

Beliau menjelaskan permohonan perlu dibuat di Pejabat Perhutanan di kawasan terdekat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum aktiviti dan sekiranya syarat dipenuhi, permit akan dikeluarkan dengan kadar bayaran RM5 hingga RM10 seorang, bergantung kepada syarat Jabatan Perhutanan negeri.

Katanya antara syarat ditetapkan ialah perlu menggunakan khidmat Malim Gunung (juru pandu) yang arif selok belok kawasan aktiviti atau khidmat mana-mana jabatan serta agensi kerajaan seperti pihak bomba.

Mengenai program tersebut, A.Halim berkata ia dianjurkan bersama oleh pihaknya dengan Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan asas untuk para pendaki, terutama yang baru berjinak-jinak.

"Program ini antara lain bagi memberi penerangan mengenai cara permohonan permit pendakian serta langkah-langkah keselamatan yang dikelolakan oleh agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Selain itu jambori ini  juga dapat memberi peluang memupuk semangat muhibbah serta kemesraan selain bertukar-tukar buah fikiran berbincang masalah di kalangan pendaki," katanya. - Bernama