Dasar Ekonomi Mahathir Bebankan Rakyat, Negara Hingga Hari Ini - PAS


ALOR SETAR - Dasar dan amalan pentadbiran di zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang 22 tahun pemerintahannya banyak merugikan negara dan rakyat, kata PAS.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki berkata, akibat dari percaturan Mahathir, rakyat kini terpaksa menanggung beban seperti kenaikan kos sara hidup, peningkatan hutang isi rumah serta menjarakkan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin.

"Di dalam aspek ekonomi pula, Dr Mahathir memperkenalkan dasar dan amalan yang banyak merugikan negara dan rakyat.

"Akibat daripada dasar dan amalan itu menyebabkan rakyat menanggung bebannya sehingga hari ini, seperti kenaikan kos sara hidup, hutang isi rumah terus meningkat dan jurang kaya-miskin yang melebar," katanya dalam satu kenyataan di Harakahdaily.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, antara dasar yang diperkenalkan Mahathir adalah dasar penswastaan yang dilaksanakan secara tidak tepat seperti kenaikan kadar tol sehingga terpaksa ditanggung negara dan menyusahkan rakyat hingga ke hari ini.

Difahamkan bahawa perjanjian konsesi lebuhraya bertol yang diperkenalkan Mahathir menyaksikan kadar tol paling minimum dicaj di zaman pentadbirannya dan syarikat konsesi diberi hak untuk menaikkan kadar tol pada setiap tiga tahun.

Kadar tol berkenaan telah melonjak naik ke tahap yang membebankan rakyat di era pentadbiran penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan beban itu juga kini terpaksa dihadapi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagi mengelak kadar tol yang membebankan rakyat, pihak kerajaan beberapa kali terpaksa membayar ratusan juta ringgit kepada syarikat konsesi lebuhraya sebagai ganti rugi untuk tidak menaikkan kadar tol sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian.

Selain itu, Mohd Zuhdi turut menyebut mengenai isu kenaikan tarif elektrik dan air yang menjadi keperluan asas rakyat, namun telah menjadi "mangsa" dasar penswastaan "ala Mahathir", termasuk bebanan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi dasar dan amalan zaman pemerintahan Mahathir yang membebankan rakyat seperti penggalakan pemilikan kenderaan peribadi, peminggiran sektor pertanian, dan penyuburan peranan orang tengah. - Kedahnews.com