DBKL Keluarkan RM5j Kompaun Di Tapak Pembinaan


KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan 70 kompaun berjumlah RM5 juta atas pelbagai kesalahan di tapak bina sekitar ibu negara sejak Januari tahun ini.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata jumlah tersebut hasil daripada 740 pemantauan yang dilaksanakan bagi tempoh berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikenakan kompaun di bawah Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 itu seperti mendirikan struktur tanpa kebenaran dan tahap keselamatan di tapak pembinaan berada pada tahap tidak memuaskan.

“Kesemua aspek di tapak pembinaan perlu diberi perhatian termasuk keselamatan dan penempatan pekerja, mereka yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Aktiviti Di Tapak Pembinaan di sini, hari ini.

Operasi bersepadu siri ke-10 itu melibatkan 138 anggota yang terdiri daripada penguat kuasa DBKL, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kesihatan.

Dalam operasi itu, katanya pemilik tapak binaan terbabit turut dikompaun berikutan tidak meminta kebenaran untuk membina penempatan pekerja di dalam bangunan dan membangunkan struktur di luar bangunan, selain membiarkan kawasan tapak binaan dalam keadaan kotor.

“Secara keseluruhan, pemaju didapati sudah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan apabila mereka menunjukkan perubahan selepas beberapa siri operasi diadakan sebelum ini,” katanya dan menambah terdapat 300 projek berskala besar dilaksanakan di Kuala Lumpur tahun ini.

Jelasnya, pihaknya telah menggembleng tenaga anggota penguat kuasa DBKL untuk melakukan pemantauan setiap malam bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut arahan yang ditetapkan. -Bernama