Desakan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibebaskan dari penjara seolah-olah menganggap negara mengamalkan 'undang-undang rimba' atau 'kangaroo court'.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebelum ini, Dr Mahathir yang menyingkirkan Anwar dengan alasan mahu menyelamatkan Malaysia sehingga melalui proses perundangan yang lama.
Namun, katanya, bekas Perdana Menteri itu kini mahu membebaskan Anwar yang didakwa sebagai tahanan politik tidak bersalah.
"Sudah-sudahlah, dalam politik kena ada sempadan dan batasan. Kalau kita tidak setuju dengan parti lawan, jangan merosakkan struktur negara yang sekian lama dibina, bahkan sejak zamannya (Dr Mahathir).
"Ia seolah-olah memberi gambaran kepada negara luar bahawa struktur negara ini bila-bila masa boleh dihancurkan dan dicabuli termasuk boleh diubahsuai mengikut citra politik.
"Malah, ia juga menggambarkan bahawa sejak zaman dia (Dr Mahathir) lagi negara ini diperintah satu perundangan yang tidak betul," katanya selepas menziarahi wartawan sambilan di Kelantan semalam.
Beliau mengulas kenyataan bersama Dr Mahathir dan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley, mendesak supaya Anwar yang menjalani hukuman penjara segera dibebaskan selain sepakat mendakwa Anwar adalah tahanan politik.
Menurut Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau sedih dengan tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang juga sebagai negarawan banyak berjasa kepada negara kerana sanggup mengubah pendiriannya itu semata-mata untuk berpolitik.
"Apa yang akan berlaku kalau pakatan pembangkang menang (dalam Pilihan Raya Umum ke-14)? Adakah semua tahanan di penjara selepas ini akan dibebaskan atas dasar politik?.
"Justeru, kita harus berjiwa besar sebagai seorang yang meletakkan kepentingan negara di tempat pertama terutama dengan mengamalkan politik matang tanpa boleh merosakkan negara ini," katanya.
Sumber : BH