Diberi Kepercayaan Pilih Pemain Import, 8 Nama Sedang ''Dipancing'' Marcote


ALOR SETAR - Setelah episod pemilihan Ramon Marcote dilantik selaku ketua jurulatih, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini mula mengorak langkah bagi mendapatkan pemain import berkualiti untuk mengharungi musim depan.

Menurut Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, setakat ini terdapat lapan nama dikemukakan Marcote kepadanya untuk dinilai bagi memperkukuhkan pasukan menghadapi musim 2018.

"Seperti dijanjikan Presiden, DatuK Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebelum ini, kami menyerahkan sepenuhnya pemilihan pemain import kepada Marcote.

"Setakat ini beliau telah mengemukakan lapan nama kepada saya antaranya dari Brazil, Sepanyol serta Indonesia dan Filipina bagi kuota Asia. Mengikut perancangan, Marcote akan memulakan langkah terlebih dulu untuk 'memancing' mereka sebelum KFA memainkan peranan seterusnya," katanya yang dipetik Utusan Online.

Berikut adalah ucapan beliau selepas merasmikan Program Membingkai Muafakat Jitra 2017 di pekarangan Masjid Wang Tepus, Kubang Pasu, hari ini.

Jelasnya, kesemua nama yang dikemukakan itu setakat ini menepati lingkungan bajet yang ditetapkan KFA.

"Saya akui, perbelanjaan untuk mendapatkan mereka itu bagi memenuhi kuota tiga lagi pemain import memang menelan belanja yang tinggi. Namun kita sudah bersedia dengan bajet tertentu dan insya Allah, mereka yang diikat kontraknya nanti terdiri daripada pemain import berkualiti," ujarnya.

Ketika diminta mengulas desas desus mengenai peletakan jawatan Datuk Jeffrey Low selaku pengurus pasukan, Aminuddin berkata sehingga kini pihaknya belum menerima surat rasmi berhubung perkara berkenaan.

"Sama ada saya atau Presiden, kedua-dua kami tidak menerima apa-apa surat dari Jeffrey. Jadi belum ada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

"Mengenai tindakan pihak tertentu yang mengaitkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin itu pula, saya tak tahu apa niat mereka berbuat demikian. Yang pasti beliau sudah pun menyatakan pendirian untuk memberi tumpuan kepada tugas-tugas parti," katanya. - Kedahnews.com