Disyaki Masuk Syria Secara Haram, Ahli Kumpulan UNIC Di Bebaskan Pihak Berkuasa


KUALA LUMPUR - Doa masyarakat Islam terutama di Malaysia dimakbulkan apabila anggota kumpulan UNIC akhirnya dilepaskan daripada tahanan pihak berkuasa di Syria.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Instagram rasmi kumpulan berkenaan, kira-kira sejam lalu.

Kumpulan nasyid berkenaan ke sana sejak beberapa hari lalu dengan kerjasama pertubuhan Muslim Care atas misi kemanusiaan.

Kumpulan popular itu dilaporkan ditahan pihak berkuasa di sempadan kerana disyaki memasuki Syria secara haram.

"Kami memohon maaf atas kelewatan memaklumkan yang kami sudah selamat sampai ke Istanbul.

"Kami ditahan pihak berkuasa di sana atas prosedur rasmi operasi (SOP). Stabilizers yang kami bawa juga disyaki seperti senjata, selain memakai pakaian seragam Muslim Care.

"Silap kami juga kerana tidak melihat pasport yang tertera cop meminta dirujuk mana-mana balai polis berdekatan dalam masa terdekat," kata kumpulan itu.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan, berkata apa yang terjadi kepada anggota UNIC adalah prosedur biasa yang dilakukan pihak berkuasa.

"Bagi yang kali pertama (berdepan pengalaman begini), ia mungkin dilihat menggerunkan termasuk beg yang dibawa diselongkar.

"InsyaAllah, Januari depan kami dan UNIC akan bekerjasama lagi untuk membantu misi pelarian Syria," katanya.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan dilaporkan ditahan di negara terbabit dan pengurusan UNIC juga mewujudkan tanda pagar #prayforunic apabila beberapa jam tidak mendengar berita daripada mereka.

Sumber: BH Online