SEORANG wanita telah ditangkap kerana dipercayai telah cuba menyiarkan filem Pengabdi Setan secara live melalui medium Facebook.
Melalui Twitter pelakon Bront Palarae yang turut beraksi di dalam filem ini, mendedahkan perkara tersebut.
"Adik ini dah kena tangkap sebab cuba siarkan #PengabdiSetan secara live di FB. Kena tangkap tak berbaloi, hilang masa depan," tulisnya.
Menurut Bront yang dihubungi berkata dia mendapat berita tersebut daripada rakannya yang bekerja di pawagam.
"Mereka sudah lepaskan wanita itu," katanya ringkas.
Walau bagaimanapun perkara ini boleh menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perkara yang sama.
Pengabdi Setan berkisarkan sebuah keluarga di mana si ibu, Mawarni mengalami sakit aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia.
Selepas beberapa hari meninggal dunia, si bapa, terpaksa pergi ke bandar kerana mendapat kerja dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah.
Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah. Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.
Sumber - Sinar Harian