Dividen, Bonus ASB 8.25 Sen, ASN 3.65 Sen


KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit untuk tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ia juga mengumumkan Bonus Khas Ulang Tahun Permodalan Nasional Bhd (PNB) ke-40 sebanyak satu sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit bagi ASB untuk tahun kewangan itu.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata jumlah pengagihan sebanyak RM10.7 bilion akan dimanfaatkan oleh 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih 145.6 bilion unit dalam ASB.

Beliau berkata, sebahagian besar pemegang unit, berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit akan mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen.

"Unit yang dilaburkan semula daripada dividen dan bonus akan dikredit ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2018, manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018," katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB dan ASN, di sini, hari ini.

Bagi Amanah Saham Nasional (ASN), Abdul Wahid berkata, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.65 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Sumber: BH Online