Dua Maut Motosikal Bertembung Di Kuala Nerang


ALOR SETAR – Dua penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam kejadian di Kilometer 16.2 Jalan Kuala Nerang-Pedu, di Kuala Nerang, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idris berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 7.20 malam itu membabitkan mangsa seorang pelajar tingkatan tiga, Mohamad Aiman Mohd Yusof, 15, dari Kampung Lebai Saman dan Nor Hisham Mustafa, 25, dari Kampung Tong Plu di daerah Kuala Nerang.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang menunggang motosikal masing-masing dari arah sama iaitu dari Kota Putra menghala ke Pedu.

“Apabila sampai di tempat kejadian berdekatan lampu isyarat Pedu, Nor Hisham disyaki membuat pusingan “U” secara mengejut menyebabkan motosikal yang tunggangi pelajar itu merempuh motosikal di hadapannya menyebabkan kedua-dua meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noh berkata siasatan mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. di Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.- Kedahnews.com