Dua Suspek Bunuh Kejam Di Stesen Minyak Direman Lagi


JOHOR BAHRU - Tempoh tahanan reman ke atas dua daripada 15 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, 17 Disember lalu disambung enam hari lagi.

Majistret, Siti Hajar Ali membenarkan tempoh tahanan reman ke atas suspek yang berusia 19 dan 22 tahun itu bermula esok sehingga 2 Januari depan.

Permohonan reman yang dikemukakan terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tempoh reman selama seminggu ke atas kedua-dua suspek itu bermula 21 Disember lalu berakhir hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap, Tan Aik Chai, 44, diserang sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis BMW ketika sedang berhenti di stesen minyak untuk mengisi angin tayar kereta yang dinaikinya.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, Aik Chai dibelasah dan ditikam tepat pada bahagian jantung sebelum digilis kereta BMW yang dipandu suspek.

Susulan itu, Polis Johor kemudiannya berjaya memberkas 15 suspek termasuk empat wanita berusia 16 hingga 26 tahun di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura sebelum direman bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian