DUN Anak Bukit, Pengkalan Kundur Milik PAS, Pakatan Hanya "Kacau Daun"


PAS Kedah meramalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dan Pengkalan Kundur akan kekal dipertahankan oleh PAS selepas dua ADUNnya melompat kepada PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN).

Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menang di kerusi DUN Anak Bukit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) seperti yang dimahukan Pengarah Pilihan Raya PH negeri Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.
Phahrolrazi adalah penyandang DUN Pengkalan Kundur sementara, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang keluar daripada PAS baru-baru ini memilih PPBM setelah mewakili Anak Bukit sejak menang Pilihanraya Kecil (PRK) pada 2002.
Keyakinan PAS itu ada logiknya kerana kemenangan dua DUN itu pada PRU13 adalah hasil undi penyokong PAS.
Pengundi PAS biasanya tidak lari meninggalkan parti seperti pemimpin mereka. Apatah lagi  PAN dan pada  PPBM bersekongkol pula dengan DAP yang menentang pindaan rang undang-undang jenayah syariah.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula  mempersoalkan bagaimana Phahrolrazi boleh menang sedangkan kejayaannya sebelum ini disebabkan mendapat undi ahli PAS.
Begitu juga yang menang di Anak Bukit itu (parti) PAS, macam mana orang itu (Phahrolrazi) dah tukar parti lain pun jadi menang kepada dia? Orang yang mengundi ia penyokong PAS.
"Kalau PH tak dapat undi orang PAS macam mana dia nak menang? Phahrolrazi kalau bertanding atas PH dia akan tewas," katanya yang dipetik Antarapos.
Terdahulu Phahrolrazi berkata kerusi DUN Anak Bukit yang menjadi milik PAS sebelum ini, akan menjadi milik PH pada PRU14 nanti.
Beliau berkata dalam pertandingan yang diramal tiga penjuru, PH mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi berkenaan ekoran senario politik terkini yang mana dakwanya sokongan pengundi lebih menjurus kepada gabungan itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata saingan di kerusi berkenaan hanya PAS dan Barisan Nasional (BN) sementara parti lain hanya 'kacau daun'.
"Kalau pengundi nak PAS kekal maka DUN Anak Bukit akan kekal dan Kubang Rotan pun PAS akan kekal, PAS akan bertanding dan PAS akan menang.
Sebelum Pakatan Harapan yang diketuai oleh PPBM dikatakan mampu menyingkirkan PAS pada PRU akan datang kerana kekuatan PH disokong oleh pengaruh Dr. Mahathir dan anaknya Mukhriz.
Namun demikian BN dalam diam meramalkan kerusi tersebut termasuk DUN Kubang Rota mampu dirampas semula jika berlaku pertandingan tiga penjuru.
Masalah dalaman PPBM hingga ramai penyokongnya berpatah balik kepada UMNO merisaukan PPBM.
Harakahdaily semalam menyindir Amiruddin bahawa PAS telah mengangkatnya (Amiruddin) yang sebelum itu tidak pun dikenali.
Kemenangan Amiruddin juga disebabkan Anak Bukit atau sebelumnya dikenali Alor Merah adalah kerusi selamat, iaitu peninggalan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. - Kedahnews.com