Durian Bakal Muncul Sebagai Industri Baharu Negara


PETALING JAYA - Penanaman durian bakal muncul sebagai sebagai industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa depan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, ia boleh menjadi sebagai satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara.

"Ekonomi durian ini mampu menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang 'value chain' selain penanam, terdapat juga orang yang menyediakan baja untuk memperoleh hasil durian yang baik, pengangkutan untuk memasarkan durian ke pasaran luar serta kilang untuk memproses pelbagai produk daripada durian.

"Jadi jangan kita bunuh industri ini. Kalau harga durian naik, kita akan cuba stabilkan kembali, orang ramai jangan cepat emosi dengan kenaikan harga tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu jemputan pada program terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Suara Kita, Hak Kita: Durian Ceria atau Kecewa yang bersiaran secara langsung dari gerai Durian SS2, Petaling Jaya, pada Isnin.

Dalam usaha membangunkan lagi industri durian, Ahmad Shabery turut menyokong pewujudan lokasi tumpuan durian seperti gerai Durian SS2, dan berharap lebih banyak tempat sedemikian bakal diwujudkan di negeri-negeri lain.

Sementara itu, pengusaha Durian SS2 Lee Chee Kong berkata gerai jualan durian yang telah diusahakan sejak 18 tahun dahulu telah berjaya menarik kehadiran pelbagai pelanggan termasuk dari luar negara.

"Hampir 30 peratus pelanggan yang datang merupakan pelancong asing dari Singapura, China, Indonesia, Thailand dan United Kingdom."

"Ada pelancong dari China datang ke negara ini semata-mata mahu menikmati durian ?Musang King' kerana durian tersebut dijual pada harga lebih murah di negara ini berbanding di negara mereka," katanya. - BERNAMA