Elak Belia Terdedah Arak, Boleh Jejas Kesihatan Mental


SHAH ALAM - Golongan muda atau beliau tidak sepatutnya didedahkan dengan minuman keras kerana boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata, umum mengetahui ketagihan arak menyebabkan individu tersebut tidak boleh berfikir secara waras, menjadi pemarah dan boleh mencederakan orang lain.

“Remaja ini memang sifatnya suka mencuba dan merasai sendiri sesuatu benda. Kalau mereka mudah terdedah kepada arak dan dadah, sudah pasti akan ada yang ingin mencuba.

“Daripada mencuba, lama kelamaan mereka akan ketagih. Ini suatu petanda negatif kepada belia dan tidak hairanlah kalau mereka boleh mendapat menyakit kronik ketika masih muda,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas  kebenaran kerajaan Pulau Pinang membenarkan pasar raya dan kedai runcit menjual arak beralkohol tinggi di negeri itu suatu tindakan tidak wajar kerana dilihat seolah-olah mempromosikannya kepada umum.

“Sepatutnya kerajaan Pulau Pinang membendung ketagihan arak dalam kalangan anak muda atau remaja ini. Ketagihan arak bukan perkara biasa kerana melibatkan aset negara,” katanya.

Sumber:Sinar Online