KOTA KINABALU – Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menasihatkan komuniti maritim khususnya di Sabah dan Sarawak agar tidak keluar ke laut buat masa ini sehingga keadaan cuaca kembali tenang bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dalam kenyataannya hari ini berkata mereka yang berada di laut pula dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Beliau memberi nasihat itu berikutan amaran angin kencang serta laut bergelora di perairan Condore, Terumbu Utara, Labuan dan Pulau Layang-Layang yang dijangka berterusan sehingga esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan Ribut Tropika Tembin dijangka bergerak dari arah Selatan Filipina menuju ke Barat Laut China Selatan dengan kelajuan angin mencecah 125 km/j dan ketinggian ombak sehingga 4.5.
Keadaan itu berbahaya kepada aktiviti perkapalan, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil serta rekreasi di laut.
Syed Zahiruddin berkata komuniti maritim perlu sentiasa mengikuti perkembangan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorolgi Malaysia serta nasihat agensi keselamatan termasuk TLDM dari masa ke semasa.
Beliau mengingatkan mereka supaya segera menghubungi Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Timur di talian 088-473606 dan Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 2 (089-219709) atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Sabah (088-270165) dan Wilayah Maritim Sarawak (082-432544) jika berlaku kecemasan di laut. – Bernama